PENDAHULUAN
Pendidikan moral merupakan
salah satu misi utama dalam proses pendidikan sejak zaman berzaman. Selagi ada
perbincangan intelektual, para pemikir pendidikan sentiasa memberi perhatian
dan membincangkan tentang perkembangan dan pembangunan peribadi insan
terutamanya dalam aspek berkaitan pendidikan moral dan akhlak. Apatah lagi bila
melihat semakin meningkatnya kes-kes delikuensi dan jenayah juvenil yang
dipaparkan oleh media. Justeru dalam melihat peranan dan sumbangan pendidikan
moral dalam era sebegini, kita perlu jelas tentang apakah asas keperluan dalam
pendidikan moral yang boleh dianggap sesuai dan berkesan untuk diterapkan dalam
diri setiap individu dalam konteks masyarakat kita yang mempunyai kepelbagaian
dalam sistem kepercayaan, adat resam, norma dan juga sistem nilai. Oleh itu
kertas ini akan membincangkan tentang keperluan dalam proses pendidikan moral
disamping cabaran yang perlu ditangani untuk memastikan proses tersebut
membuahkan hasil.
KEPERLUAN
DALAM PENDIDIKAN MORAL
Deskripsi berkenaan pendidikan moral
seharusnya bermula dengan memfokuskan kepada apakah sebenarnya yang dikatakan
‘insan bermoral’. Ini kerana apa pun pendekatan yang akan digunakan mestilah
berasaskan kepada kefahaman yang tepat dan jelas tentang insan bermoral itu
sendiri. Menurut John Wilson (1973), komponen yang perlu ada dalam diri seorang
insan bermoral dikategorikan sebagai konsep iaitu peraturan dan prinsip yang
difikirkan perlu digunakan dalam tindakan dan perasaan atau emosi yang akan
menyokong kepercayaan bahawa sesuatu konsep atau tindakan itu perlu dilakukan.
Selain itu seorang insan bermoral juga perlu mempunyai pengetahuan tentang
keadaan persekitarannya, tahu berinteraksi dengan orang sekelilingnya dan
bertindak mengikut pertimbangan yang telah difikirkan atau keputusan yang telah
dibuat. Lickona (1991) pula menyatakan untuk menjadi seorang yang bermoral,
seseorang itu perlu mengetahui kebaikan, menginginkan kebaikan dan melakukan
kebaikan. Manakala Walker et. al. menggambarkan domain moral terdiri daripada
emosi moral, perlakuan moral, pemikiran moral, komitmen dan keperibadian mulia.
Dari perbincangan di atas menunjukkan
sewajarnyalah perlu dikenalpasti kualiti, sifat atau kemahiran yang perlu ada
dalam diri insan yang dikatakan bermoral untuk merekabentuk dan merancang
proses pendidikan moral secara keseluruhan. Sehubungan dengan itu, Abdul Rahman
Aroff (1999) telah mengemukakan konsep etika dan insan moral yang dikatakan
sesuai terutamanya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Etika dikonsepsikan
dari tiga sudut iaitu kandungan, bentuk dan dimensi etika.
Kemoralan atau etika perlu mempunyai
kandungan yang terdiri daripada peraturan masyarakat dan sifat keperibadian
mulia. Setiap kelompok masyarakat mesti mempunyai peraturan untuk membolehkan
manusia dapat hidup dan berfungsi dengan baik dengan persekitarannya. Justeru
kemoralan tidak boleh lari daripada peraturan, norma, tradisi atau adat
kebiasaan dalam masyarakat. Oleh sebab itu sebagaimana yang dijelaskan oleh
John Wilson ( 1973 ), peraturan masyarakat dan sifat keperibadian mulia perlu
difahami oleh setiap individu kerana pemikiran moral tidak berkembang dalam
keadaan vakum. Tanpa peraturan, kehidupan sosial manusia tidak dapat diteruskan
kerana ia juga merupakan kayu pengukur untuk menilai sesuatu aktiviti sosial (
Wright, 1971). Disamping bermatlamat untuk memelihara kemuliaan manusia,
peraturan juga menjimatkan tenaga dan masa manusia daripada terpaksa berfikir
bagaimana mereka sendiri mesti berkelakuan. Namun begitu insan moral sebenarnya
hanya menerima nilai-nilai murni dan peraturan masyarakat yang diterima secara
sejagat sebagai bermoral, patut, baik dan benar. Oleh itu insan bermoral perlu
peka dan memahami keperluan terhadap peraturan dalam masyarakat ( Abdul Rahman
Aroff,1986).
Insan bermoral juga perlu mempunyai
ciri keperibadian mulia yang boleh dipuji dari segi moral. Keperibadian mulia
adalah kecenderungan dan pembawaan diri yang stabil untuk bertindakbalas kepada
sesuatu situasi dengan bermoral, manifestasi dari sifat-sifat kebaikan,
kejujuran, tanggungjawab, menghormati orang lain dan lain-lain (Lickona,1991a).
Lebih penting ia mengandungi cara insan bermoral patut mematuhi peraturan
masyarakatnya dan bertindak secara berkesan tanpa akur atau taat terhadap
sesuatu peraturan secara membuta tuli.
Sesungguhnya dengan hanya menyediakan
konsep peraturan masyarakat dan ciri keperibadian mulia sahaja belum cukup
untuk membolehkan seseorang individu berdepan dengan dilemma moral atau konflik
nilai yang kompleks. Seseorang insan bermoral perlu mempunyai prinsip dan
bersifat autonomi dalam membuat pertimbangan dan keputusan yang bebas, rasional
dan betul tanpa paksaan atau kepatuhan yang membuta tuli terhadap sesuatu
autoriti. Untuk itu, bentuk etika yang berasaskan prinsip keadilan dan
kepedulian diperlukan. Prinsip keadilan perlu untuk bertindak secara autonomi
dan rasional dalam apa jua keadaan kerana ia dapat mengelak dari bersifat
mementingkan diri sendiri, tamak serta dapat mengawal sifat-sifat melampau
seperti dalam keadaan terlampau marah.
Seterusnya, manusia tidak boleh
berurusan dengan manusia lain tanpa berkomunikasi juga tidak boleh
berkomunikasi sekiranya mereka tidak memahami antara satu sama lain. Manusia
juga tidak akan belajar bertoleransi dengan manusia yang realitinya berbeza
pendapat dan pandangan kecuali dengan adanya sikap persefahaman, kesesuaian dan
method yang membolehkan urusan bersama dibuat. Menyedari hakikat bahawa manusia
sebenarnya tidak boleh hidup bersendirian tanpa melibatkan orang lain ini,
kepedulian menjadi prinsip moral yang penting untuk mengelakkan sifat
mementingkan diri sendiri. Ia dianggap ibu nilai (Abdul Rahman Aroff,1999) yang
akan menerbitkan nilai-nilai moral yang lain terutamanya yang bersifat
altruistik. Oleh itu bentuk etika yang berasaskan prinsip keadilan dan
kepedulian perlu ada dalam diri insan bermoral disamping perlu mengambilkira
situasi yang dihadapi.
Untuk
melengkapkan konsep etika dalam diri insan bermoral, penting juga disentuh
mengenai dimensi atau aspek yang menjurus ke arah kecenderungan seseorang untuk
bertingkah laku secara bermoral. Terdapat sekurang-kurangnya tiga dimensi etika
iaitu pentaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral (Abdul Rahman
Aroff,1999).
Insan bermoral mesti melakukan sesuatu
berasaskan kepada alasan yang munasabah. Individu yang melakukan sesuatu kerana
kebiasaan, takut atau mengikut keadaan tanpa berfikir tidak dikira sebagai
insan yang mempunyai kematangan moral atau dikatakan tidak melakukan sesuatu
secara bermoral. Misalnya sekiranya kita melatih atau mendidik anak-anak supaya
menjauhi prasangka perkauman tanpa mengetahui sebabnya, kita juga sebenarnya
tidak mendidik mereka dengan bermoral. Hanya individu yang melakukan tindakan
yang betul dengan alasan atau sebab yang betul serta boleh meyakinkan yang
ianya betul saja dikira sebagai insan bermoral. Konsep pentaakulan moral perlu
terutamanya dalam masyarakat majmuk di negara ini di mana masyarakat berbeza
tentang kesignifikanan sesuatu nilai atau kesepakatan masyarakat yang berbeza
tentang nilai-nilai utama mereka. Pentaakulan juga perlu untuk mewujudkan
keadilan dalam tindakan. Ringkasnya pentaakulan moral melibatkan pemikiran dan
pertimbangan yang rasional dan bebas. Ia adalah kebolehan untuk membuat
pertimbangan dan keputusan moral yang matang dan bebas dalam situasi moral
tanpa dipengaruhi oleh paksaan atau ketaatan membuta tuli.
Perlakuan moral pula berkaitan dengan
tindakan dan tingkah laku seseorang hasil daripada sesuatu keputusan yang telah
dibuat dengan penuh tanggungjawab oleh pentaakulan yang bebas dan rasional.
Individu yang tidak melakukan sesuatu yang telah difikirkan sebagai patut,
wajar dan bermoral dianggap individu yang lemah moralnya atau ‘berilmu tetapi
tidak diamalkan’. Fenomena inilah yang berlaku kepada individu yang
berpendidikan dan tahu berfikir tetapi tetap melakukan sesuatu yang salah atau
tidak bermoral.
Umum biasanya membuat tanggapan bahawa
kemoralan boleh diterapkan dengan hanya menjelaskan tentang kebaikan dan
keburukan serta tingkah laku yang wajar tanpa menyedari bahawa emosi sebenarnya
adalah ibarat ‘pembekal tenaga’ (power supply) kepada setiap perlakuan.
Samay (1986) ketika membincangkan tentang peranan emosi dalam perkembangan
moral menyatakan ....
“besides
enumerating the reasons for which people act or should act, ethics must also
call attention to the energies through which people are enabled to act for
those reasons. Moral emotion is considered to be “the general power supply” of
all behaviour ....”
Ewing (1990) melaporkan bahawa
kelemahan moral dikalangan kanak-kanak yang melakukan jenayah bukan disebabkan
mereka tidak mengetahui bahawa perkara itu adalah salah tetapi berpunca dari
tiadanya perasaan terhadap kebajikan orang lain.
Individu yang mempunyai perasaan moral
akan bersifat altruistik, bertimbang rasa, belas kasihan, murah hati dan juga
sifat-sifat yang berkaitan dengan sifat kepedulian. Disamping itu dia juga
harus mempunyai rasa malu atau bersalah bila melakukan sesuatu yang tidak wajar
dari segi moral. Namun begitu insan bermoral tidak harus terlalu mengikut emosi
kerana ia akan menjurus kepada perlakuan yang tidak rasional. Manakala individu
yang terlalu kurang perasaan moralnya pula dilihat kurang insani atau bersifat
impersonal. Oleh itu insan bermoral ialah juga individu yang boleh
menyeimbangkan antara pentaakulan dan perasaan disamping perlakuan moralnya.
Dari perbincangan di atas, disimpulkan
bahawa disamping mempunyai sifat-sifat murni dan ciri-ciri keperibadian mulia
yang diakui secara sejagat, seorang insan bermoral perlu peka dan memahami
peraturan dalam komuniti tetapi tidak mentaatinya tanpa berfikir. Apabila
berdepan dengan konflik atau dilema moral, individu tersebut boleh membuat
pertimbangan dan keputusan berdasarkan prinsip-prinsip moral yang berkaitan
dengan keadilan dan kepedulian tanpa mengetepikan situasi yang menimbulkan
konflik tersebut. Individu ini akan bertindak berdasarkan keputusan yang dibuat
secara autonomi mengikut kemampuan iaitu dengan menyatukan pentaakulan,
perasaan serta perlakuan moral dalam setiap tindakannya.
Kesemua aspek diatas sebenarnya
menjadi keperluan asas untuk dijadikan latarbelakang dalam proses pendidikan
moral samada secara formal atau tidak formal dan perlu menjadi rujukan utama
dalam merancang pendekatan yang sesuai digunakan dalam program pendidikan untuk
membangun insan yang matang dari segi moral. Para pendidik seharusnya perlu
jelas tentang konsep ini supaya apa yang disampaikan kepada anak didik bukanlah
sekadar ‘pengetahuan’ berkenaan moral tetapi lebih utama untuk disebatikan
dalam diri mereka supaya boleh dimanfaatkan dalam membuat pertimbangan dan bertindak
dengan bermoral dalam menghadapi dan menangani apa jua bentuk cabaran yang
semakin kompleks dalam era globalisasi ini.
CABARAN
DALAM PENDIDIKAN MORAL
Pendidikan
moral ialah satu perkara yang kompleks dan telah mengundang banyak kekeliruan.
Ia bukan saja menjadi tugas pendidik yang mengajar Pendidikan Moral di sekolah
malah perlu kerjasama dari semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat sekolah
khususnya untuk mempromosikan suasana moral. Menurut Puka (1976), jika pendidik
tidak tahu apa itu moral maka dia tidak boleh mengajarnya (Abdul Rahman
Aroff,1986). Pendidik yang diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Moral perlu
mempunyai asas ilmu pengetahuan dan kemahiran yang luas terutamanya berkaitan
keperluan dalam diri dan pendekatan atau kaedah yang digunakan. Oleh itu soal
penyediaan guru Pendidikan Moral perlu dipandang serius kerana realitinya
pendidikan moral tidak semudah seperti yang ditanggapi dan dilafazkan.
Sebenarnya konsep moral yang dipegang oleh pendidik akan mempengaruhi matlamat,
kandungan dan terutamanya kaedah mengajar Pendidikan Moral. Contohnya seorang
pendidik yang memahami Pendidikan Moral sebagai kepatuhan terhadap peraturan
yang mutlak akan bertindak secara autoritarian dan program Pendidikan Moralnya
akan menjadi bersifat indoktrinasi yang implikasinya akan membantutkan proses
perkembangan moral yang matang.Oleh itu janganlah terlalu mudah kita berpuas
hati dengan mengeneralisasikan semua guru adalah guru moral.
Kita juga perlu sedar bahawa suasana
di luar bahkan di dalam sekolah sendiri samada dari segi praktik dan polisi
banyak memberi implikasi terhadap kemoralan seseorang individu. Sebagaimana
pentingnya Pendidikan Moral secara formal, proses pendidikan secara tidak
formal melalui aktiviti-aktiviti dan suasana alam persekolahan meliputi
masyarakat dan polisinya perlu mempunyai kualiti yang boleh mempromosikan
suasana moral. Sememangnya ia bukanlah satu usaha yang mudah dan memerlukan tekad
yang jitu tetapi tanggungjawab ini perlu kita galas untuk menyiapkan anak didik
kita supaya boleh berfungsi dengan baik dan berkesan dalam pelbagai segi.
Tidak
dinafikan kita kekurangan rujukan dan model yang jelas dan valid berkaitan
Pendidikan Moral. Namun kita mesti berhadapan dengan realiti bahawa kita adalah
pendidik moral, institusi pendidikan kita adalah ibarat „moral enterprise‟ dan
kita adalah ahli yang perlu aktif dalam „enterprise‟ tersebut. Oleh itu
janganlah kekurangan itu dijadikan alasan untuk melemahkan atau melumpuhkan
komitmen kita sebagai pendidik .
PENUTUP
Pendidik
dan masyarakat umumnya mesti menyedari bahawa pendidikan moral ialah suatu
tanggungjawab yang tidak boleh dielak. Dalam menilai keperluan dan peranan
pendidikan moral demi menangani cabaran kemelut keruntuhan akhlak yang semakin
membimbangkan, kita perlu sentiasa bersedia dan membina satu domain pendidikan
moral yang serasi dengan sistem nilai masyarakat pelbagai. Ianya perlu difahami
dengan jelas oleh setiap pendidik moral terutamanya untuk diaplikasikan sebagai
keperluan asas dalam pendidikan moral bagi menumpu ke arah pembinaan insan yang
menyeluruh, harmonis dan bersepadu dari segi intelek, emosi, jasmani dan
rohani. Dalam membuat persiapan menghadapi cabaran dan untuk masa depan yang
tidak diketahui sifatnya, kita wajar mempunyai satu konsep domain moral yang
boleh digunakan untuk mengukur sesuatu pertimbangan nilai moral.
RUJUKAN.
Abdul
Rahman Md Aroff. (1986). Makna Moral. Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia
(68)
Abdul
Rahman Md Aroff. (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika Dan Amalan Moral.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Ewing,
C.p. (1990). When Children Kill. The Dynamics of Juvenile Homicide.
Lexington,MA Walker, L.J., Pitts, R.c., Hennig, K.H., & Matsuba, M.K. :
Lexington Books.
Lickona,
T. (1991a). An Integrated Approach To Character Development. Dalam J.S
Benninga(ed). Moral Character And Civic Education In The Elementary School. New
York : Teachers College Press.
Lickona,T.
(1991). Educating For Character : How Our Schools Can Teach Respect And
Responsibility. New York: Bantam.
Samay,
S.A. (1986). Affectivity : The Power Base of Moral Behaviour. Dalam G.F. Mc
Lean, F.E. Ellrod, D.L. Shindler & J.A. Mann(eds.). Act and Agent:
Philosophical Foundations For Moral Education And Character Development. New
York : University Press of America.
Wilson,
John. (1973). A Teacher’s Guide To Moral Education. London: Geoffrey Chapman.
Wright,
Derek. (1971). The Psychology of Moral Behaviour. Hazell Watson & Viney Ltd